STUDIO ANIMASI MALAYSIA, CHINA HASILKAN CHUCK CHICKEN – THE MOVIE

Studio animasi Malaysia, China hasilkan Chuck Chicken ­‐ The Movie

Bernama    15 Mac 2016, 4:54 petang    15 Mac 2016, 4:57 petang

Studio animasi tempatan, Animasia Studio menandatangani perjanjian bersama Zero One Animation dari China untuk bekerjasama menghasilkan sebuah filem animasi berjudul Chuck Chicken ­‐ The Movie.

Filem animasi itu merupakan kesinambungan siri animasi Chuck Chicken yang hangat ditayangkan di saluran Disney China (termasuk Taiwan, Hong Kong dan Macau), Disney Southeast Asia, Nickelodeon India (termasuk Asia Selatan), dan banyak lagi.

Siri animasi Chuck Chicken juga telah berjaya menarik lebih 300 juta tontonan dalam masa enam bulan sejak ia dilancarkan di saluran atas talian, iQIYI di China.

Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di Pavilion Malaysia di Hong Kong FILMART 2016. Majlis itu juga telah disaksikan Azmir Saifuddin Mutalib, Pengarah Bahagian Komersial Finas; Elvin Law; wakil daerah Fujian bagi Majlis Pembangunan Perdagangan Hong Kong (HKTDC); Huiqin Tang, Timbalan Pengarah, Pembangunan Perkhidmatan Jabatan Perdagangan daerah Fujian; dan Wan Ke Feng, wakil bagi Pentadbiran Penerbitan Akhbar, Radio, Filem & Televisyen daerah Fujian.

Chuck Chicken – The Movie dianggarkan menelan belanja sebanyak AS$8 juta (RMB50 juta), dan bakal ditayangkan pada awal 2018.

Penerbit eksekutif filem tersebut, Edmund Chan, Raye Lee dan Helen Dong akan mengumpulkan bakat kreatif dari China, Malaysia dan Amerika Utara untuk menyiapkan filem dalam bentuk 3D itu, serta mengumpul dana dan melihat potensi pelaburan pada masa akan datang.

Filem berkonsepkan aksi dan komedi itu mengisahkan Chuck yang mahukan kekayaan terpaksa melupakan hasratnya apabila perniagaannya tidak membuahkan hasil akibat ketamakan, menyebabkan dia sanggup melakukan apa saja kerja yang memberikan pulangan lumayan.

Perubahan Chuck menyebabkan kuasa telur emas dimilikinya semakin pudar, lantas tercetuslah konflik antara Chuck dan rakan­‐rakannya, Flick dan Wing.

Proses penulisan skrip dan jalan cerita bermula sejak November lalu dan merupakan kerjasama yang diketuai oleh Chen Xi, Helen Dong, dan pengarah animasi Malaysia, Wong Kuan Loong (Ah Loong).

Bahagian praproduksi pula dijangka bermula pada awal Jun ini, manakala produksi grafik disasarkan bermula hujung 2016.

“Kami amat teruja untuk melancarkan sebuah projek filem animasi yang paling dinantikan oleh para peminat siri ini di seluruh dunia, dan kerjasama ini bakal membawa kami selangkah lebih dekat ke arah menerbitkan sebuah filem box­‐office bagi pasaran yang penting seperti China,” kata Edmund Chan, Penerbit Eksekutif dan Pengarah Urusan Animasia Studio.

Helen Dong, Ketua Pengurus Zero One Animation pula berkata, kerjasama dengan Animasia Studio ini dijangka mengukuhkan posisi mereka di pasaran China ke tahap yang berbeza.

“Kami sangat teruja untuk menghasilkan filem ini bersama mereka. Kami juga amat berpuas hati dengan konsep dan skrip Chuck Chicken – The Movie, dan saya yakin bahawa para pelabur kami akan turut menyokong projek mega ini,” katanya.

Kerjasama itu dijang bakal menguatkan lagi hubungan antara Malaysia dan China, khususnya dalam industri kandungan kreatif.

Perkhidmatan penghasilan animasi telah menjadi antara penyumbang terbesar bagi hasil eksport dalam industri kreatif Malaysia, daripada AS$46 juta pada 2009 ke AS$140 juta pada hujung tahun 2014.

Source: https://m.malaysiakini.com/hiburan/333940#GTDtAbjJIC3W9W3w.97