Chuck Chicken di Putrajaya

By Samadi Ahmad, 8th December 2017, my Metro

WATAK animasi Chuck Chicken yang menjadi kegilaan remaja dan kanak-kanak bakal menemui peminatnya di Chuck Chicken Run yang akan berlangsung di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya, hujung minggu ini.

Pengurus Jualan AnimasiaStudio Sdn Bhd (Animasi Studio) Joanne Lee berkata, larian itu diadakan dengan kerjasama IOI City Mall bagi menghargai peminat animasi berkenaan.

“Di samping menggalakkan gaya hidup sihat melalui bersukan, aktiviti itu juga dapat menghidupkan semangat kekeluargaan melalui penyertaan secara berkumpulan.

“Program ini turut menjadi platform dalam mempromosikan naskhah, karya animasi dan kartun tempatan, malah boleh memupuk semangat perpaduan masyarakat melalui animasi,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Eksekutif Promosi dan Pengiklanan IOI City Mall Michelle Hor.

Seramai 2,500 peserta sudah mengesahkan penyertaan membabitkan kategori lelaki dan wanita masing-masihg sejauh tujuh dan lima kilometer yang bermula pada jam 7 pagi.

Beliau berkata, larian animasi itu kali kedua dianjurkan selepas 2012 melalui pembabitan paling ramai larian animasi Bola Kampung yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

Menurutnya, pengunjung turut berpeluang menyertai aktiviti aerobik tanpa henti yang diadakan selama dua jam di samping pertandingan mewarna dan cabutan bertuah.

“Program ini menjadi satu usaha bagi mengetengahkan aspek budaya dan seni kreatif dalam penerbitan animasi kerana melaluinya, masyarakat akan lebih menghargai idea unik daripada pengkarya kepada masyarakat,” katanya.

AnimasiaStudio sudah menerbitkan beberapa rancangan animasi termasuk Harry Bunnie, Bola Kampung, Silent Horror, Magiki, Super Strike, Fairy Tales of the Orient serta Claw.

Source: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/12/291985/chuck-chicken-di-putrajaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *